Uque Kids Station

Uque Kids Station
A Station of Gorgeous and Fabulous Babies and Kids Apparel

Rabu, 13 November 2013

"Mama, saya minta maaf"

Semalam, saya berasa sangat marah kerana anak kecil saya menumpahkan air ke atas lantai. Kemudian si kakak pula meratakan air tersebut dengan kakinya. Tindakannya itu menambahkan kemarahan saya. Tanpa saya sangka, si kakak berkata kepada saya:

"Mama, kakak minta maaf." Sambil datang dan ingin menyalami tangan saya.

Saya sambut huluran tangannya dan memeluknya. Saya benar-benar tak sangka anak saya yang berumur 4 tahun ini melafazkan kata-kata yang sangat menyentuh hati. Saya katakan padanya:

“Mama maafkan tapi kakak kena janji lain kali jangan buat macam tu lagi.”

Kemudian, dia menggamit adiknya supaya datang meminta maaf dengan saya. Si kecil datang dengan muka merajuknya (kerana dimarahi saya sebentar tadi) namun tersenyum selepas menyalami saya dan saya memeluknya. Alhamdulillah.

Alangkah bahagianya hati seorang ibu apabila mendengar dua ungkapan maaf di atas. Tambah pula apabila dilafazkan kanak-kanak seawal usia 4 tahun.
 
Sumber: Ehsan Google
Merujuk kepada artikel bertajuk Didik Anak Budaya Minta Maaf yang ditulis oleh Siti Zarinah Sahib dalam Harian Metro bertarikh 21 Julai 2010, seperti di bawah ini:-

Melafazkan maaf atas kesalahan dilakukan memanglah sukar apatah lagi bagi kanak-kanak. Ini kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan itu satu kesalahan.

Sebenarnya mengakui kesalahan dan meminta maaf adalah perbuatan mulia sama ada di sisi Allah mahupun manusia.

Sifat meminta maaf dapat diterap kepada kanak-kanak apabila ibu bapa melatih mereka mengakui kesalahan sejak kecil. Antara panduan yang boleh dilakukan ibu bapa ialah:

1) Memberikan contoh secara langsung

Ibu bapa harus memberikan contoh terbaik kepada anak-anak bagaimana perkataan maaf boleh digunakan.

Misalnya, ibu secara tidak sengaja menumpahkan susu anak. Katakan pada anak, "Maaf ya sayang, mama tidak sengaja menumpahkan susu."

Begitu juga dengan kesalahan lain yang dilakukan. Dengan demikian diharapkan anak terbiasa melihat ibu bapa atau orang paling hampir dengannya mengucapkan kata maaf selepas melakukan kesalahan.


2) Tunjukkan penyesalan menerusi bahasa tubuh

Lakukan bahasa tubuh menerusi mata ketika mengucapkan kata maaf. Ini bagi menunjukkan tanda penyesalan anda sehingga anda boleh merasakan penyesalan itu.

Menggenggam tangan anak, memeluk erat atau mencium juga boleh dijadikan contoh ketika memohon maaf.

Namun katakan padanya, pelukan dan ciuman penyesalan hanya boleh diberikan kepada ibu bapa, kakak atau adik saja bukan rakan berlainan jantina. Untuk meminta maaf daripada rakan, cukup sekadar bersalaman saja.

Bahasa tubuh juga sangat berkesan bagi bayi yang belum lancar bercakap.

3) Dorongan supaya bertanggungjawab

Selain mengucapkan maaf, minta anak anda bertanggungjawab atas kesalahan dilakukannya.

Umpamanya, jika dia menyenggol rakannya sehingga terjatuh, minta dia melafazkan maaf kepada rakannya itu.

Jika kawannya terluka, minta si kecil memberikan tisu atau ubat luka. Ini sebagai sebahagian pembelajaran mengenai tanggungjawab atas kesalahan dilakukan mereka.

4) Berikan pujian

Setelah anak mengucapkan kata maaf, berikan pujian seperti, "Wah bijaknya anak mama, hebatnya kakak kerana sudah pandai meminta maaf."

Ini sekali gus sebagai menguatkan agar apa yang dilakukan anak anda adalah perkara baik dan harus dilakukan berulang-ulang.

5) Jangan marah

Paling penting, jangan marah apabila kali pertama anak melakukan kesalahan. Sebaiknya terangkan dengan penuh berhemah supaya dia tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.

Kemudian, barulah minta supaya anak meminta maaf atas kesalahan dilakukan.

6) Mulakan sekarang

Mulakan budaya meminta maaf di dalam keluarga walau apa jua kesalahan dilakukan sama ada besar atau kecil.

Misalnya, adik meminta maaf kepada kakak, abang meminta maaf kepada adik atau kakak meminta maaf kepada ibu. Apabila anak-anak sudah terbiasa meminta maaf, mereka akan melakukannya kepada orang lain.

Sumber: Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
21/07/2010


Selepas membaca artikel ini, saya sedar bahawa, walaupun anak saya telah terdidik budaya memohon maaf, namun sebagai ibu, saya juga harus mempunyai sifat sabar kerana anak itu umpama sehelai kain putih, kitalah sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Andai coraknya ke arah positif, maka positiflah perangai anak kita dan sebaliknya. Semoga perkongsian ini dapat sama-sama memberi manfaat kepada kita sebagai ibu bapa. Wassalam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...